" SDPB MENJURAI "
Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah dan kurnia NYA kita dapat bersama semula pada tahun 2013 bagi menyempurnakan tugas yang diamanahkan dan menggalas tanggungjawab bagi memacu SMK Dato' Penggawa Barat agar terus berada di puncak kegemilangan.
Mutakhir ini banyak perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan. Pemimpin sekolah sewajarnya melihat perubahan sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi dengan kesungguhan. Sememangnya kejayaan sistem pendidikan banyak bergantung kepada faktor guru. Tanpa guru yang berkualiti, berfikiran konstruktif dan berjiwa murni, adalah sukar untuk menjayakan sebarang program pembangunan yang dirancang.
Selaras dengan motto sekolah iaitu "SDPB MENJURAI", kita sebagai pendidik mesti sanggup mengubah paradigma dan bertindak profesional. Namun begitu, perkara yang paling penting ialah menjadi pendidik yang berminat dan sanggup mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.
Kejayaan sesebuah sekolah itu amat bergantung pada peranan pentadbir sekolah bersama-sama para guru, kakitangan, pelajar, ibu bapa serta komuniti yang akan melahirkan modal insan minda kelas pertama dalam kalangan para pelajarnya.
Akhirnya, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru atas jasa dan pengorbanan yang diberi untuk memastikan kegemilangan SMKDPB. Untuk guru-guru baru, jadikanlah sekolah ini sebagai satu tempat yang paling seronok untuk bertugas dan menjadikan tugas sebagai guru itu satu ibadah di samping sebagai tempat yang memberi rezeki kepada diri dan keluarga.
HJ.HASHIM BIN MOHD DOM
Pengetua SMKDPB Pontian
Dari Meja Pengurus Blog
Alhamdulillah, dengan kerjasama yang diberikan oleh Jawatankuasa Blog serta guru-guru maka dapatlah blog ini dilahirkan. Selain kelahiran majalah rasmi sekolah iaitu "Pelopor", blog ini juga akan mendokumentasikan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan sekolah.Kejayaan dan aktiviti sekolah dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan program tahunan sekolah sepanjang tahun juga akan turut dimuatkan. Diharapkan agar semua guru memberikan kerjasama dengan sumbangan-sumbangan berbentuk softcopy kepada AJK Blog bagi memudahkan kami untuk mengemaskini paparan.
Akhir kata, terima kasih sekali lagi semoga laman blog sekolah ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak supaya murid yang berilmu, kreatif dan produktif dapat dilahirkan.
Sebarang perkongsian bolehlah dikirim melalui email: smkdpbkluster@gmail.com
Sekian, selamat maju jaya.
ARIFFIN BIN BAJURI
PK Petang SMKDPB.


